Have an account?

LAWATAN KE JPNIN & PERTANDINGAN BOWLING PERPADUAN DI PUTRAJAYA (18 MAC 2011)

Monday, April 11, 2011

Pada 18 Mac 2011 yang lepas, Sekretariat Rukun Negara (SRN) UPSI telah mengadakan program lawatan ke Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. Kumpulan sasaran untuk menyertai Program lawatan tersebut ialah dalam kalangan barisan kepimpinan SRNUPSI. Oleh yang demikian, Program tersebut telah disertai seramai 38 orang barisan kepimpinan SRNUPSI termasuk ahli-ahli Sekretariat Rukun Negara UPSI yang lain. Program ini merupakan saranan Yang Di Pertua SRNUPSI bagi meningkatkan penghayatan dan menambahkan pengetahuan terutama sekali kepada barisan kepimpinan SRNUPSI berkenaan Rukun Negara selain dapat meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa tanpa tertumpu kepada pelajaran semata. Program lawatan tersebut berjalan lancar walaupun pada awalnya terdapat sedikit masalah teknikal iaitu kelewatan bas sebelum berangkat ke JPNIN namun semuanya dapat diatasi segera dengan adanya barisan kepimpinan yang cekap.


Setiba di bilik mesyuarat JPNIN tepat jam 3.30 petang, penceramah iaitu Puan Norazila selaku Pen. Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah memberi sedikit taklimat ringkas tentang sejarah penubuhan JPNIN dan Rukun Negara, apa itu Rukun Negara, objektif utama Rukun Negara, tanggungjawab sebagai ahli SRN, aktiviti SRN dan lain-lain lagi. Objektif utama program tersebut juga adalah untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada peserta mengenai kepentingan dan keunikan Rukun Negara serta melahirkan masyarakat Malaysia yang demokratik, saintifik dan progresif serta bersatu-padu dan bersikap terbuka terhadap pelbagai cara hidup masyarakat yang pelbagai keturunan melalui penghayatan terhadap Rukun Negara sekali gus mengaplikasikannya dalam kehidupan.


Seterusnya, selepas taklimat dijalankan mahasiswa dan mahasiswi SRNUPSI juga diberi peluang mengajukan pelbagai soalan berkenaan tentang Rukun Negara kepada penceramah di mana penceramah juga turut dibantu oleh dua orang pegawainya iaitu En. Mohd Shahril dan En. Mohd Asyraf untuk menjawab pelbagai pertanyaan oleh peserta. Mahasiswa dan mahasiswi SRNUPSI kelihatan bersemangat semasa sesi soal jawab untuk memahami setiap perkara yang diterangkan oleh pihak JPNIN. Selain itu, pihak SRNUPSI juga berkongsi idea dan bertukar-tukar pendapat dengan pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional berkaitan program-program yang mampu meningkatkan pemahaman masyarakat amnya dan mahasiswa khususnya dalam memupuk semangat nasionalisme. Oleh itu, dengan adanya pengetahuan dan penghayatan yang tinggi terhadap rukun Negara maka dapatlah melahirkan masyarakat yang patriotisme dan dinamik terhadap negara.



Selanjutnya, setelah selesai taklimat tersebut Mahasiswa dan mahasiswi SRNUPSI berangkat ke Alamanda Putrajaya. Perlawanan bowling antara peserta SRNUPSI turut diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli jawatankuasa dan peserta yang terdiri daripada pelbagai semester dan kaum. Di samping itu, dapat memberi peluang kepada peserta SRNUPSI bersosial dengan menjalankan aktiviti riadah yang sihat selain dapat merehatkan minda dan melepaskan perasaan tekanan belajar serta memperlihatkan semangat kerjasama dan berpasukan antara setiap kumpulan.


Secara keseluruhannya, program tersebut telah meninggalkan banyak kenangan di samping memberi banyak manfaat kepada pelbagai pihak khususnya kepada peserta yang terlibat. Program ini juga turut mendedahkan para peserta sikap patriotisme, kerjasama, komunikasi, bertukar-tukar pendapat dan sebagainya. Diharapkan agar program sebegini dapat dijadikan wadah ilmu dan penyuntik semangat kepada warga SRNUPSI seluruh negara dalam memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang pelbagai kaum.


Program lawatan ke JPNIN tersebut telah meninggalkan banyak kenangan di samping memberi banyak manfaat kepada pelbagai pihak khususnya kepada peserta SRNUPSI yang terlibat. Program ini mendedahkan para peserta kepada sikap toleransi, kerjasama, komunikasi dengan masyarakat, cara hidup di kawasan kampung dan sebagainya telah menjadikan program tersebut menjadi satu platform penghubung semangat perpaduan serta kasih sayang dalam kalangan peserta dan penduduk kampung. Diharapkan agar program sebegini dapat dijadikan wadah ilmu dan penyuntik semangat kepada warga SRN seluruh negara dalam memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang pelbagai kaum.


0 comments: