Have an account?

HARI INI DALAM SEJARAH : 14/11/1957

Friday, November 13, 2009

Tanggal 14/11/1957, Pendaftaran Kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu yang baru sahaja mencapai kemerdekaan telah dimulakan. Permohonan serta pendaftaran kerakyatan ini telah dijalankan di pejabat-pejabat daerah dan pendaftaran di seluruh negara. Antara syarat untuk mendapatkan pendaftaran kerakyatan Persekutuan ialah pemohon mestilah dilahirkan  di  Persekutuan, berumur 13 tahun ke atas dan telah tinggal di Persekutuan selama 5 tahun daripada 7 tahun sebelum membuat permohonan; bagi pemohon yang berumur 18 tahun ke atas, dan tidak dilahirkan di persekutuan tetapi berada di negara ini di hari merdeka, mereka hanya layak memohon jika mereka telah tinggal selama 8 tahun daripada 12 tahun sebelum membuat permohonan. Pemohon juga mestilah berkelakuan baik serta bertujuan untuk menjadikan Persekutuan Tanah Melayu sebagai tempat tinggal mereka yang tetap. Selain itu, mereka juga mestilah mempunyai pengetahuan bahasa kebangsaan; Pemohon yang berjaya mendapat kerakyatan dengan cara pendaftaran ini mestilah mengangkat sumpah taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap Persekutuan Tanah Melayu. Warganegara yang mempunyai kerakyatan negara lain mestilah membatalkan taraf kerakyatan dan taat setia mereka terhadap negara tersebut untuk menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Sesungguhnya, dengan pelancaran pendaftaran kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu pada hari ini dalam tahun 1957, telah membuka peluang kepada orang ramai untuk menjadi warganegara atau rakyat di negara ini.

(Sumber: Arkib Negara Malaysia)

0 comments: